comscore
Tumpuan :
Nasional

Faisal sudah keluar hospital

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Selepas tiga minggu menjalani rawatan di hospital, pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim akhirnya dibenarkan pulang ke rumah, hari ini.

Perkembangan itu dimaklumkan SFC menerusi kenyataan media yang mana Faisal atau lebih mesra di sapa Mickey mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital swasta, di sini, selepas menjadi mangsa simbah asid, 5 Mei lalu.

Faisal yang juga pemain kebangsaan akan menjalani rawatan susulan selepas ini termasuk dari aspek psikologi dalam usaha untuk dia kembali beraksi di atas padang.

“Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak.

“Faisal Halim kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau. Pihak kelab dan keluarga Faisal Halim memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk belia melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya.

“Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga beliau dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini,” jelas kenyataan SFC.

Faisal sebelum ini mengalami luka lecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbah asid di sebuah pusat beli belah Kota Damansara.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan lagi sebelum boleh kembali beraksi.

Menerusi kenyataan sama, SFC turut berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit sepanjang Faisal menerima rawatan termasuk rakyat Malaysia yang mendoakan kesembuhan pemain itu.

“Setinggi tinggi penghargaan diucapkan kepada keluarga besar Selangor FC, pemimpin negeri dan negara, badan kerajaan dan swasta, komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan serta memberi dorongan semangat kepada ikon bola sepak negara kesayangan kita,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini