comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Semua atlet ada peluang cipta emas di Paris – Hamidin

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Olimpik 2024, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin (tengah) bersama atlet renang, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin (kiri) selepas latihan persiapan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Berbasikal trek dan badminton dilihat berupaya untuk menjelmakan pingat emas sulung negara di Sukan Olimpik di Paris 2024 namun keutamaan itu tidak hanya disandarkan kepada dua jenis sukan berkenaan sahaja.

Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, secara faktanya jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang; beregu utama badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia mempunyai potensi berkenaan.

Ia berdasarkan rekod pencapaian diraih ketiga-tiga prospek ini di peringkat antarabangsa.

Azizulhasni, membuktikan dirinya sebagai pencabar utama di Tokyo 2020 dengan meraih perak dalam acara keirin manakala Aaron-Wooi Yik pernah memenangi gangsa pada tahun yang sama selain muncul juara dunia di Tokyo 2022.

Zii Jia yang bakal membuat penampilan Olimpik keduanya di Paris, pada ketika ini dilihat berada di tahap prestasi terbaik selepas meraih dua gelaran setakat musim ini iaitu di Terbuka Australia dan Terbuka Thailand.

Walaupun begitu, Hamidin tidak menolak yang emas pertama itu juga mungkin boleh diraih atlet lain dalam kontinjen negara termasuk daripada kelompok yang beraksi atas tiket wildcard dan slot lebihan kuota yang tidak digunakan atlet negara lain.

“Kalau kata mengenai peluang untuk dapatkan pingat (emas), semua berpeluang tetapi dari segi faktanya… seperti Datuk Azizulhasni, Aaron-Wooi Yik, Zii Jia ini (bagi dirinya) adalah nama yang mungkin ada potensi.

“Namun mungkin ada atlet yang boleh membuat kejutan, kita tak tahu… cukup untuk saya katakan, semua atlet berpeluang untuk dapatkan emas.

“Saya juga ada bercakap dengan atlet muda, bagi saya sekurang-kurangnya mereka perlu mendapatkan kedudukan lebih baik di Olimpik kali ini. Kalau katakan yang dapat wildcard, sekiranya mereka boleh perbaharui masa terbaik mereka pun, itu sudah OK,” kata Hamidin selepas Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk kontinjen Malaysia ke Paris 2024, di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini