comscore
Tumpuan :
Sukan

SEPAK TAKRAW: PSM fokus persiap skuad terbaik hadapi Sukan Sea Kemboja

Foto: Datuk Mohd Sumali Reduan

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Berakhirnya kemelut perebutan status selaku badan induk sukan sepak takraw negara selepas pembubaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF), fokus penuh kini boleh diberikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia, PSM untuk mengembalikan kegemilangan sukan sepak takraw negara.

Misi terdekat, semestinya terarah kepada penampilan di temasya Sukan Sea yang akan berlangsung di Kemboja Mei nanti.

Dan sudah tentu amat melegakan apabila kepercayaan terus diberikan oleh Majlis Olimpik Malaysia, MOM selepas kesemua atlet takraw kebangsaan diletakkan dalam kategori A.

“Kita dah dapat berjumpa dengan MOM dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) dalam sesi perbincangan untuk fokus kepada Sukan Sea Kemboja pada bulan lima dan syukur kita akan menyertai acara sepak takraw dan juga chinlone, dua-dua dalam kategori A.

“Kita jangka untuk skuad lelaki, kita ada 12 pemain untuk sepak takraw, dan juga 6 pemain chinlone, untuk skuad wanita kita ada 9 pemain yang akan menyertai Sukan Sea di Kemboja, untuk chinlone wanita, kita akan gunakan pemain-pemain yang menyertai acara sepak takraw.

“Kita akan menyertai dua acara chinlone lelaki, dua acara chinlone wanita dan juga dua acara chinlone campuran.

“Untuk acara yang akan kita sertai bagi sepak takraw, regu berpasukan, regu dan ‘double’, untuk skuad wanita sepak takraw, kita akan sertai ‘double’ berpasukan dan ‘quadrant’.

“Sasaran satu pingat emas untuk sepak takraw, tiga perak dan satu gangsa, dan untuk chinlone kita sasarkan juga seperti tahun 2017, itu adalah kali terakhir acara chinlone dipertandingkan, kita masih kekal sasaran satu emas, satu perak dan empat gangsa”, kata presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Terdahulu, PSM telah mengumumkan Ahmad Jais Baharun selaku ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan dan dia akan dibantu barisan kejurulatihan yang baru saja dibentuk PSM dengan Sukan Sea menjadi tugasan pertama.

“Mungkin atas restu MSN sendiri, Ahmad Jais yang akan mengetuai jurulatih kita untuk menyertai Sukan Sea dan pasti akan menjadi satu cabaran yang besar, satu cabaran yang kita ingin lihat bagaimana perubahan prestasi skuad negara terutamanya di Sukan Sea Kemboja.

“Ada beberapa rombakan dari segi jurulatih lelaki dan wanita dan ini saya mengharapkan akan memberikan wajah baru dan memberi nafas baru kepada sepak takraw di negara kita,” tambah Datuk Sumali.

Pada temasya Sukan Sea 2021 di Hanoi tahun lalu, skuad sepak takraw negara terpaksa berpuas hati dengan tiga pingat perak dan dua gangsa.

Malaysia tewas kedua-dua perlawanan akhir acara regu dan regu berpasukan sebelum dikejutkan Indonesia pada final acara ‘double’.

Loading...
Terkini