comscore
Tumpuan :
Sukan

Astaf terima semula PSM sebagai ahli gabungan

HALIM (tiga dari kiri) meletakkan lencana kepada Sumali sebagai simbolik tanda penerimaan semula PSM dalam Astaf. Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sah diterima semula menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) berkuatkuasa hari ini.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader yang hadir pada mesyuarat agung tahunan PSM di sini hari ini.

Menurut Halim, dengan penerimaan PSM sebagai ahli gabungan Astaf, ia sekali gus membuka pintu buat persatuan itu untuk diterima semula oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) tidak lama lagi.

“Kelulusan untuk menerima PSM tak buat hari ini, ia sebenarnya sudah dilakukan dua bulan yang lalu ketika di Sukan Sea Kemboja.

“Jadi saya gunakan peluang hari ini untuk kita umumkan penerimaan semula PSM dalam Astaf. Malah kita juga ada berbincang untuk PSM kembali diterima semula oleh Istaf dan perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu Astaf melucutkan keahlian PSM pada Mei 2021 kerana melanggar perjanjian bertulis mengkritik badan itu secara terang-terangan, disusuli pengguguran keahlian oleh Istaf pada Februari tahun lalu.

Dalam pada itu, Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Astaf selepas menghantar permohonan untuk kembali menyertai ahli gabungan itu pada Disember 2022.

“Sudah pasti ini satu berita baik untuk semua peminat sukan sepak takraw negara dan satu perkara yang dinantikan selama ini selepas memohon kembali pada Disember 2022.

“Akhirnya hari ini terjawab dan ini jadi pembakar semangat dan titik tolak kepada PSM untuk terus bekerjasama dan menjalin hubungan baik dengan Astaf terutama dalam apa-apa kejohanan dan program pembangunan di peringkat antarabangsa,” katanya yang turut melahirkan keyakinan PSM akan kembali bertaut bersama Istaf sebelum penghujung tahun ini.

Loading...
Terkini