comscore
Tumpuan :
Sukan

Shereen tekad pecah rekod kebangsaan dalam usaha raih tempat ke Paris

Atlet 400 meter wanita negara, Shereen Samson Vallabouy pada separuh akhir 400 meter wanita Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur. – FOTO: NSTP

KUANTAN: Atlet 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy tekad untuk memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini, dan Terbuka Kazakhstan di Almaty pada 23-24 Jun ini.

Dengan memperbaiki rekod kebangsaan 51.79s miliknya di Kuantan dan di Almaty, ia akan membuka jalan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou itu untuk meningkatkan kedudukan ranking dalam usaha untuk mendapatkan tempat beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Ketika ini, pelari kelahiran Perak berumur 26 tahun itu berada di kedudukan ke-63 tetapi hanya 48 teratas dijamin tempat ke temasya sukan terbesar iu.

Bagi Shereen, pencapaian itu adalah peluang terbaiknya untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris Julai depan.

“Sebagai atlet, sudah pasti saya mahu melakukan yang terbaik, tekanan memang ada tetapi saya belajar untuk lebih yakin dan tenang.

“Oleh itu matlamat saya menamatkan acara ini di tempat pertama dan pada masa sama memecahkan rekod kebangsaan. Namun, ia bergantung kepada prestasi,” kata pelari kelahiran Perak itu.

Pada separuh akhir acara itu, Shereen mencatat masa 55.44 saat sekali gus layak berentap di final yang dijadualkan pada jam 11.10 pagi esok.

Ketika ini, Shereen perlu mencatat had kelayakan 50.95 saat yang ditetapkan untuk layak secara automatik selain menempatkan diri dalam kelompok 48 terbaik ranking kelayakan ke Paris sebelum 30 Jun ini.

Jika gagal melepasinya, Shereen masih mempunyai peluang apabila beraksi Terbuka Kazakhstan yang menjadi penentu terhadap usaha Shereen mengesahkan tiket ke Paris.

Pada 2 Jun lalu, Shereen memecahkan rekod kebangsaan miliknya ketika menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat.

Dia mencatat masa 51.79 saat (s), mengatasi rekod kebangsaan miliknya sebelum ini 51.80s yang dilakukan di California pada April tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini