comscore
Tumpuan :
Sukan

Sukan Komanwel boleh diadakan tapi usah tumpu hanya di Kuala Lumpur

Gambar fail Sukan Komanwel 1998 yang dianjurkan Malaysia.

KUALA LUMPUR: Sekiranya Malaysia menerima tawaran penganjuran Sukan Komanwel 2026, ia disaran diadakan di negeri-negeri yang memiliki fasiliti sedia ada dan tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata langkah itu sekali gus dapat memanfaatkan fasiliti sedia ada tanpa perlu mengeluarkan peruntukan besar untuk membina stadium dan pusat sukan yang baharu.

Beliau berkata kerajaan juga disaran mengehadkan acara sukan yang dipertandingkan pada Sukan Komanwel 2026 itu dan tidak menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menganjurkan sukan tersebut.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.

“Kalau tolak peluang yang ada ini, negara kita akan kerugian tetapi pada saya, kita boleh terima dengan syarat acara kita hadkan.”

“Jadi untuk menyelamatkan Sukan Komanwel ini, kita kena ada semangat kerana kita antara negara Komanwel dan saya amat yakin jikalau mungkin daripada 21 acara, mungkin 18 acara dianjurkan bagi memastikan Sukan Komanwel ini berjalan di Malaysia menggunakan fasiliti yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah kenyataan Senator A. Kesavadas pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Terdahulu, Kesavadas mencadangkan supaya kerajaan menolak tawaran penganjuran Sukan Komanwel 2026 kerana keadaan ekonomi negara yang masih tidak mengizinkan ketika ini.

Senator A. Kesavadas.

Beliau berkata penganjur Sukan Komanwel Birmingham 2022 di United Kingdom masih menanggung kerugian sebanyak RM4.6 bilion serta berharap Kementerian Belia dan Sukan mengambil iktibar dan menolak tawaran itu.

Media tempatan hari ini melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan kementerian itu mempertimbang cadangan untuk menjadi tuan rumah bersama Singapura bagi Sukan Komanwel 2026.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel ialah pada 1998 dan tawaran terbaharu ini menyusul selepas Victoria, Australia menarik diri.

Jika bersetuju, Malaysia turut dijanjikan akan menerima dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) daripada CGF. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini