comscore
Tumpuan :
Sukan

Zii Jia percaya ada peningkatan, mahu bangkit di Terbuka Switzerland

FOTO: Ihsan BAM

KUALA LUMPUR: Meskipun gagal dalam misi untuk sekurangnya-kurangnya mara ke separuh akhir buat kali kelima berturut-turut di seluruh England, perseorangan utama negara Lee Zii Jia dia percaya ada peningkatan positif dalam permainannya.

Juara edisi 2021 itu tewas dalam pertarungan tiga set menentang pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 dari India, Lakshya Sen 22-20, 16-21, 19-21 pada aksi suku akhir di Utilita Arena, Birmingham.

Itu adalah kekalahan keempat Zii Jia di tangan Lakshya dalam lima pertemuan setakat ini.

“Sudah tentu saya kecewa kerana tidak dapat memenangi perlawanan ini. Saya bermain dengan baik tetapi Lakshya berada pada tahap prestasi terbaiknya.

“Walaupun saya tidak berjaya ke separuh akhir tetapi sekurang-kurangnya ada peningkatan yang positif dalam permainan saya sepanjang kejohanan Seluruh England kali ini.” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Justeru Zii Jia mahu menebus kekecewaan pada Terbuka Switzerland yang bermula Selasa ini.

Tampil sebagai pilihan pertama, pemain ranking ke-10 dunia itu mahu membuktikan statusnya dengan mencuba merangkul gelaran juara pada kejohanan bertaraf Super 300 berkenaan.

“Di Terbuka Switzerland saya adalah pilihan pertama dan sudah tentu ia akan menjadi satu lagi minggu yang sukar untuk saya.

“Namun, saya harap boleh bawa perkara positif di sini (Seluruh England) ke Switzerland,” katanya

Di Terbuka Switzerland, Zii Jia akan membuka tirai saingan menentang pemain Taiwan, Su Li Yang pada aksi pusingan pertama.

Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran juara dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Switzerland adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2009 dan pada 2006 Chong Wei turut muncul juara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini