comscore
Tumpuan :
Sukan

Tabung Solidariti Selangor FC: Jumlah sumbang lebih RM34,000 ketika ini 

PETALING JAYA: Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) yang dilancarkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) bermula 26 Jun lalu kini mencecah sumbangan lebih RM34,000.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi menerusi kenyataan ringkas sebentar tadi.

“Untuk makluman semua, jumlah sumbangan yang telah diterima untuk Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula dari 26 Jun hingga setakat jam 12.00 tengah hari ini adalah sebanyak RM34,357.15.

“Terima kasih kepada semua penyumbang dari seluruh negara yang telah menzahirkan sokongan dan solidariti kepada pasukan Selangor FC.

“Kepada yang berhasrat untuk menyumbang RM1 sebagai tanda solidariti kepada pasukan Selangor FC, anda boleh scan pada kod QR yang dipaparkan dalam infografik di atas,” jelasnya.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenakan empat bentuk hukuman termasuk denda sebanyak RM100,000 kepada Selangor FC kerana ‘tidak hadir’ pada saingan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Lembaga Pengarah MFL menetapkan denda berkenaan yang mana wang terbabit bakal disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

MFL dalam satu kenyataan berkata, tiga lagi hukuman termasuk bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024/2025.

Bagaimanapun, MFL telah mengurangkan hukuman yang dikenakan daripada RM100,000 kepada RM60,000 terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Manakala bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

Selain itu, pemotongan tiga mata dan larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang dikenakan sebelum ini juga dibatalkan.

“Tempoh untuk membuat rayuan adalah selama tiga (3) hari daripada tarikh surat ini (27 Jun 2024) seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia,” jelas MFL dalam satu kenyataan media semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini