comscore
Tumpuan :
Sukan

Tang Jie-Ee Wei perlu miliki ‘mentaliti juara’ untuk layak ke Olimpik Paris

Tang Jie-Ee Wei akan berentap di Terbuka China bermula esok.

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei perlu mempunyai ‘mentaliti juara’ yang lebih tinggi bagi menembusi kelompok 10 terbaik dunia.

Selepas hanya sembilan bulan digandingkan, Tang Jie-Ee Wei kini semakin hampir untuk berada dalam kalangan 10 pasangan elit apabila berada di kedudukan ranking ke-11 dunia.

Mereka juga kini bergelar beregu campuran nombor satu negara, mengatasi Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang jatuh ke kedudukan ke-12.

Kedudukan ranking tertinggi dalam kerjaya mereka itu adalah susulan pencapaian mereka mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark, minggu lalu.

Tang Jie-Ee Wei kini berada di depan dalam pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 membabitkan persaingan dengan Soon Huat-Shevon dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berharap Tang Jie-Ee Wei terus kekal fokus bagi melakar keputusan positif dalam setiap kejohanan disertai termasuklah Terbuka China yang akan bermula esok.

“Saya mahu mereka kekal fokus dan ambil pendekatan satu demi satu. Matlamat utama adalah mereka layak ke Olimpik Paris.

“Saya harap status terbaru mereka ini (beregu campuran nombor satu negara) tidak mendatangkan beban atau tekanan kepada mereka sebaliknya sebagai motivasi untuk menghasilkan kejayaan,” kata Nova.

Seminggu selepas tamat Kejohanan Dunia, Tang Jie-Ee Wei akan kembali ke gelanggang dan memulakan kempen menentang pasangan India, Rohan Kapoor-N Sikki Reddy di pusingan pertama Terbuka China.

Ujian lebih sukar dijangka menanti mereka apabila diramal bertemu pilihan keenam kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun di pusingan kedua.

“Selepas tamat Kejohanan Dunia, kita hanya ada tempoh kurang seminggu untuk buat persiapan bagi menghadapi Terbuka China, tidak banyak yang dapat kita lakukan. Saya berharap mereka kekal fokus dan terus berjuang.

“Bagi saya undian untuk kejohanan kali ini OK dan saya percaya mereka boleh menghasilkan keputusan yang baik,” kata Nova.

Loading...
Terkini