comscore
Tumpuan :
Sukan

Hampir nak menang tetapi meletakkan tekanan kepada diri, akhirnya hilang kepercayaan – Rexy Mainaky

KUALA LUMPUR: Meskipun tewas kepada pasangan pilihan ke-6 dunia, Pearly Tan-M Thinaah sudah menunjukkan prestasi yang baik di pentas suku akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menganggap beregu wanita negara itu  sudah bermain dengan baik sebelum tewas kepada beregu wanita China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-17, 17-21, 19-21.

Terutama di set pertama sehingga pertengahan set kedua, namun terdapat sedikit kesilapan yang menjurus kepada kekalahan.

“Mereka sudah bermain dengan bagus. Dari awal hingga ke set kedua apabila mendahului 11-5. Namun mereka berdua seperti mengulangi perkara sama ketika di Terbuka Australia,” kata Rexy mengenai prestasi anak buahnya di Royal Arena itu.

“Hampir nak menang tetapi meletakkan tekanan kepada diri sendiri yang pada akhirnya hilang kepercayaan bahawa mereka boleh menang.”

Semalam, gandingan ke-11 dunia itu terlepas peluang keemasan untuk menjadi beregu wanita pertama Malaysia meraih pingat di Kejohanan Badminton Dunia.

Pearly-Thinaah bermula garang apabila memenangi set pertama 21-17 dan berjaya mendahului dengan selesa di set kedua sebelum lawan mengejar, seterusnya memenangi set kedua 21-17 untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi set ketiga berlangsung sengit dengan Pearly-Thinaah yang suatu ketika ketinggalan namun berjaya bangkit dan kedua-dua pasangan saling mengejar mata selepas itu sebelum Shu Xian-Zheng Yu menoktahkan kemenangan 21-19.

“Saya seperti patah hati dan sangat sedih kerana kami melakukan banyak kesilapan sama yang berulang. Kami sudah saling mengingatkan untuk kekal tenang dan fokus. Saya marah pada diri sendiri kerana melakukan kesilapan sama… tewas pada perlawanan ini, saya rasa kami tak patut kalah.

“Apapun, ia satu pengajaran berguna buat saya. Terima kasih atas sokongan semua dan harap kami dapat memberikan motivasi kepada kamu semua. Sudah tentu, kami perlu balik dan mengambil pengajaran ini dan kembali bangkit,” kata Pearly.

Pencapaian Pearly-Thinaah melangkah ke suku akhir kali ini menyaksikan mereka menyamai rekod tiga lagi pasangan wanita negara yang turut melakar keputusan sama sebelum ini iaitu Lim Pek Siah-Chor Hooi Yee (1997), Chin Eei Hui-Wong Pei Tty (2005, 2006, 2007) dan Amelia Anscelly-Soong Fie Cho (2015).

Loading...
Terkini