comscore
Tumpuan :
Sukan

Terbuka Australia: Zii Jia atasi Nishimoto di suku akhir

Pemain profesional negara, Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tetap waspada dengan ancaman pemain meningkat naik Taiwan, Lee Chia Hao apabila mereka membuat perhitungan pada aksi separuh akhir Terbuka Australia, esok.

Terdahulu, pemain nombor lapan dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menyingkirkan wakil Jepun, Kenta Nishimoto 16-21, 21-12, 21-12 pada aksi suku akhir di Sydney Olympic Park, hari ini.

Chia Hao pula mara selepas mengejutkan seniornya, Chou Tien Chen 22-20, 22-20 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Pertemuan terakhir membabitkan Zii Jia dan Chia Hao menyaksikan lawannya itu berjaya menang dalam pertarungan tiga set ketika saingan Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.

“Saya sudah beberapa kali bermain menentang Chia Hao sebelum ini. Dia baru sahaja mencipta kejutan menewaskan Tien Chen iaitu seniornya.

“Sudah tentu dia berada pada tahap prestasi terbaik dan bersemangat tinggi ketika ini. Jadi, saya perlu berwaspada.

“Saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sengit, esok,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kemenangan ke atas Nishimoto menyaksikan Zii Jia berjaya mengekalkan rekod tanpa kalahnya kepada tiga perlawanan berturut-turut selepas memenangi dua pertemuan terakhir sebelum ini di Piala Thomas pada Mei dan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia, Mei lalu.

Bekas juara Seluruh England itu kini hanya selangkah lagi bagi merekodkan pentas final ketiganya musim ini selepas muncul juara Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia, bulan lalu.

“Saya memang sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental untuk beraksi sehingga set penentuan menentang Nishimoto kerana memang menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar.

“Kami sudah beberapa kali bertemu, kami sudah mengetahui corak permainan masing-masing,” kata Zii Jia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini