comscore
Tumpuan :
Sukan

Terengganu jumpa Kelantan di suku akhir

FOTO: MFL/Twitter

KUALA TERENGGANU: Seperti dijangka, Terengganu FC (TFC) tiada tandingan buat pasukan Liga M3, Melaka FC selepas melakar kemenangan 4-0 pada aksi pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, naib juara Piala FA musim lalu itu yang dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner berjaya menempah slot ke peringkat suku akhir dan bakal berdepan Kelantan FC sekali gus berpeluang untuk mengulangi pencapaian musim lalu.

Pada perlawanan itu, skuad Penyu yang menurunkan empat tonggak import berbanding lawan tanpa import bermula garang selepas mendapat gol pendahuluan menerusi rembatan deras Ivan Mamut pada minit kelima perlawanan.

Sepanjang babak pertama skuad pelawat kendalian Pedro Hipolito langsung tidak ada percubaan tepat sekali gus menyaksikan penjaga gol TFC, Muhammad Rahadiazli Rahalim tidak banyak menyentuh bola.

Usaha berterusan tuan rumah untuk menambah jaringan kedua berhasil pada minit ke-70 apabila pemain gantian, Hakimi Abdullah tidak melepaskan peluang melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti hasil hantaran lintang Jordan Mintah untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-81, hasil hantaran Omid Nazari, Mintah menambah derita pelawat apabila menyumbat jaringan ketiga pasukannya selepas mudah menggelecek penjaga gol untuk pasukannya selesa mendahului 3-0.

Ketika perlawanan dilihat berkesudahan dengan keputusan itu, Mintah sekali lagi muncul sebagai watak pemusnah apabila meledak gol keempat pada masa kecederaan hasil hantaran Engku Nur Shakir Engku Yacob dan keputusan 4-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir.

Loading...
Terkini