comscore
Tumpuan :
Sukan

TFC tekad bangkit berdepan Sri Pahang

Penyerang TFC, Jordan Mintah (kanan) tekad bangkit berdepan Sri Pahang FC Jumaat ini. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Penyerang Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah mahu melupakan kekalahan terbesar kepada Selangor FC pada aksi kesembilan Liga Super minggu lalu.

Sebaliknya pemain kelahiran Ghana berusia 28 tahun itu tekad untuk bangkit membalas kepercayaan barisan jurulatih dengan aksi lebih bertenaga berdepan pasukan jiran, Sri Pahang FC pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini.

Pemain yang sebelum ini beraksi bersama pasukan ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II) sejak 2020, turut mengharapkan aksi lebih baik diperagakan rakan sepasukannya dalam misi untuk mengutip tiga mata penuh.

Pada aksi menentang skuad The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu dibelasah 5-1 dan kekalahan itu adalah yang paling teruk setakat ini selepas sembilan penampilan dalam saingan liga.

“Sekiranya diturunkan jurulatih, saya akan berusaha lebih gigih untuk menjaringkan gol awal bagi menyuntik semangat kami dalam misi untuk mengutip tiga mata lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.

“Kami juga turut mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia kerana kehadiran mereka sudah pasti mampu menaikkan lagi semangat kami ketika beraksi.

“Kekalahan besar kepada Selangor FC tempoh hari kami mahu lupakan kerana perjalanan liga masih lagi panjang, yang penting kami perlu mengikut perancangan barisan jurulatih bagi memastikan misi untuk menang berhasil,” katanya.

Loading...
Terkini