comscore
Tumpuan :
Sukan

Perlis United kempunan ke Liga Super

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR – Impian Perlis United FC (PUFC) untuk beraksi di Liga Super musim ini lebur selepas pasukan itu tidak diberikan lesen kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) susulan kegagalan memenuhi syarat tambahan yang diperlukan.

Perkembangan itu disahkan Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam satu kenyataan sekali gus mengumumkan hanya 13 pasukan akan bersaing dalam saingan Liga Super bagi musim 2024/25.

Ini selepas FIB mendapati PUFC sudahpun gagal tiga daripada empat syarat itu dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.

“FIB menetapkan syarat untuk memastikan semua usaha wajar kewangan diselesaikan sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada PUFC mengikut kriteria tambahan seperti bukti dana yang diterima dalam akaun PUFC berjumlah RM5 juta seperti dalam cek yang dikemukakan sebelum 9 Mac 2024.

“Pengisytiharan yang ditandatangani oleh pegawai dan pemain bahawa tiada hutang tertunggak pada 31 Disember 2023 sebelum 13 Mac 2024 dan bukti perjanjian penajaan yang dicop antara PUFC dan setiap satu daripada empat penaja berpotensi yang akan diserahkan sebelum 15 Mac 2024.

“Pembayaran dana tajaan pertama yang diterima oleh PUFC daripada penaja di atas berdasarkan syarat pembayaran tajaan sebelum 22 Mac 2024.

“Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir namun FIB mengesahkan bahawa PUFC sudahpun gagal tiga daripada empat syarat awal itu sekali gus FIB memutuskan untuk tidak memberikan lesen Liga Super 2024/25 kepada PUFC,” kata Sheikh Mohd Nasir.

Dalam kenyataan sama, Sheikh Mohd Nasir menyatakan keputusan itu terpaksa dibuat bagi memastikan hanya pasukan yang benar-benar berkemampuan daripada segi kewangan dibenarkan beraksi dalam Liga M.

“FIB mengekalkan syarat ketatnya demi untuk menjaga kestabilan kewangan liga dan kelab-kelab serta proses usaha wajar kewangan ini dilaksanakan dengan teliti.

“Ini bagi memastikan Liga M tidak menghadapi kebimbangan kewangan sekiranya PUFC dibenarkan bertanding,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini