comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: The Speedy Tigers kempunan lagi

Skuad negara ketika diasak Pakistan dalam aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2022 semalam. FOTO: Hokita / Facebook

Oleh Saiyed Ismail

IPOH: Pasukan hoki negara masih mencari prestasi mantap mereka dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2022 selepas terpaksa berkongsi satu mata ketika bertemu Pakistan semalam.

Malaysia yang beraksi di perlawanan kedua kempen di Stadium Azlan Shah mendahului 1-0 di hadapan semasa suku kedua hasil gol padang Shello Silverius minit ke-26.

Pakistan yang lebih berbahaya setiap kali datang mengancam menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti Arbaz Ahmad minit ke-36 suku ketiga.

Anak buah Arul Selvaraj tampil lebih baik berbanding permainan kurang bermaya ketika tewas 0-3 dalam aksi sulung kepada Korea Selatan Selasa lalu tetapi masih sukar untuk melepasi kawalan lawan.

“Ia kebangkitan yang penting daripada pasukan, dari segi tenaga, semangat tetapi perlu lebih klinikal, dalam kawasan D”, kata Arul selepas perlawanan.

Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain di atas padang ke atas lawan pada penghujung permainan di suku keempat, The Speedy Tigers masih tidak dapat mencari gol penting pemisah menyebabkan ribuan penyokong tuan rumah yang hadir kempunan melihat pasukan meraih kemenangan.

“Sekali lagi, sentuhan terakhir di bahagian suku ketiga padang amat kritikal. Kami mendapat lima pukulan sudut penalti, tetapi tidak dapat menjaringkan gol, manakala Pakistan menjaringkan satu gol daripada jumlah sama ditambah mencipta beberapa peluang,” tambah Arul.

Mengumpul satu mata berbaki tiga lagi perlawanan, skuad negara perlu mengutip mata penuh pada semua pertemuan selepas ini sekiranya berhasrat ke perlawanan akhir.

Saingan berhenti rehat hari ini sebelum Malaysia dijadual turun perlawanan ketiga menentang Afrika Selatan malam esok.

Loading...
Terkini