comscore
Tumpuan :
Sukan

The Speedy Tigers tamat penantian 39 tahun, julang Piala Sultan Azlan Shah

Foto Ihsan Hokita

Oleh Fariz Zolkarnain

IPOH: Skuad hoki kebangsaan kendalian Arul Selvaraj berjaya menamatkan penantian selama 39 tahun apabila merangkul kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan, Korea Selatan 3-2 di pentas final, sebentar tadi.

The Speedy Tigers memulakan aksi dengan corak bertahan di awal permainan menyaksikan Korea garang mengasak kubu negara.

Ketika lawan di ranking ke-12 dunia itu sibuk menyerang, Malaysia yang sekali-sekala melakukan serangan balas berjaya menyingkap jaringan pembukaan menerusi gol padang Shello Silverius yang bijak memanfaatkan peluang di penghujung suku pertama.

Masuk suku kedua, Korea tidak mengambil masa yang lama untuk menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Jang Jonghyun minit ke-16.

Bersambung selepas rehat, aksi lebih mendebarkan disajikan kedua-dua pasukan dengan Malaysia dan Korea memiliki beberapa pukulan sudut penalti namun gagal disudahkan dalam bentuk jaringan.

Ketika aksi suku ketiga berada di penghujung, Malaysia dihadiahkan penalti stroke dan peluang itu tidak disia-siakan oleh pemain berpengalaman negara, Muhammad Razie Abdul Rahim untuk kedudukan semasa 2-1 memihak skuad kebangsaan.

Jaringan itu nyata menyemarakkan semangat Malaysia untuk terus mengasak dan hasilnya Muhammad Aminuddin Mohd Zain cemerlang menampan masuk gol ketiga, minit ke-48.

Berbaki dua minit sebelum permainan ditamatkan, Korea memperoleh gol kedua melalui pukulan sudut penalti Jeon Byungjin namun kebangkitan lewat yang cuba dilakukan lawan tidak berhasil.

Kemenangan 3-2 itu menyaksikan Malaysia akhirnya berjaya merangkul kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama sejak mula menyertai kejohanan ini pada 1983.

Loading...
Terkini