comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

50 tahun mengenalinya, saya tak boleh lupakan dia – Uji

Oleh: Fahmi Tajuddin

AMPANG: Penyanyi legenda yang signifikan dalam kerjaya Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid menyifatkan pemergian rakan duet popularnya itu meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Uji ketika ditemui Buletin TV3 berkongsi bagaimana beliau sempat hadir menziarahi Allahyarham di Hospital ketika mendapat perkhabaran keadaan Allahyarham semakin merosot.

Katanya meskipun pada ketika itu Allahyarham seakan tidak mengenali dirinya apabila ditegur, beliau cuba memanggil Allahyarham dengan menyanyikan lirik lagu Menunggu Nasi Minyak.

“Saya dua hari saya di hospital. First day saya tengok dia tak bercakap, dia tak pandang.

“Dia tak tengok kita, macam taknak. Second day datang, he was talking. Dia bercakap dengan anaknya berborak.

“Saya bercakap dengan isteri dia, bagi salam dekat arwah. Pergi dekat dengan dia sapa dia, dia tak dengar. Sekali dia jawab salam saya.

“Saya sempat nyanyikan Cik Hail jangan marah, dia terus tersenyum. Bila nyanyikan lagi dia macam ingat kita.

“Lepastu saya balik, dengan harapan jumpa lagi. Saya pesan dekat dia ingat Allah selalu. Saya balik, bagi salam dan dia balas Selamat Hari Raya,” katanya.

Menelusuri lima dekad perkenalan bersama Allahyarham, Uji menyifatkan Arwah merupakan sosok abang kepada dirinya sejak mula berkenalan sebagai penari.

“Saya mula mengenalinya sejak penari. Kami ada kumpulan tarian bersama. Bila kita buat program menari, Jamil Sulong sebagai pengarah, Pak jamil ditugaskan untuk pilih penari untuk pergi casting di Shaw Brothers. Kecuali saya, tak pergi. Saya ketika itu tak minat menyanyi dan berlakon.

“Bila menari, guru kami pilih saya dan arwah Hail untuk membuat persembahan tarian dan nyanyian,” katanya.

Beliau juga berkata, hubungan kekeluargaan antaranya dan Allahyarham cukup erat hingga merasakan kehilangan ini sebagai pemergian yang akan diratapi buat selamanya.

“Saya selalu cakap, dekat rumah dia ada isteri, tapi dekat stage saya umpama isteri dia..kami terlalu akrab.

“Banyak perkara yang saya akan rindu dia, dulu pergi show, anak dia pun akan ikut. Hubungan kekeluargaan itu akan kami rindui.

“Bila kami bergurau, kami letak tepi pangkat dan status, ya dia Datuk, tapi saya tetap panggil dia Abdul,” tambahnya.

Uji dan Allahyarham  merupakan gandingan duet popular era 70-an dengan pelbagai lagu hit dan malar segar termasuk Menunggu Nasi Minyak, Seloka Hari Raya, Antara Matamu dan Mataku serta Tanda Kasih.

Pesona dua bintang duet popular ini menjadi fenomena lantas mempopularkan trend penyanyi duet dalam landskap seni tanah air.

Hail Amir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman pada paru-paru pukul 3.40 petang semalam.

Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada jam 11 pagi Selasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini