comscore
Tumpuan :
Negeri

Budak 2 Tahun Lemas, Tergelincir Di Kawasan Air Terjun

Foto hiasan

KUALA KRAI: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai tergelincir di Air Terjun Lata Rek, ditemukan lemas pada jarak 1.5 kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Difahamkan, sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan bersama bapanya berada di luar rumah mereka yang terletak berhampiran kawasan air terjun.

Tidak beberapa lama kemudian, bapanya menyedari mangsa tidak berada di kawasan rumah dan bimbang anaknya mungkin tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.53 petang dan tiba di lokasi pada jam 2.28 petang.

“Sebaik menerima panggilan, seramai sembilan anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).

“Selepas beberapa jam operasi, kanak-kanak berkenaan ditemui pada jam 5 petang tadi. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini