comscore
Tumpuan :
Tragedi

Lima Kenderaan Musnah Dalam Kebakaran

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Lima kenderaan termasuk sebuah kereta mewah musnah dalam satu kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Angkasa Nuri di sini awal pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 1.40 pagi itu melibatkan tiga kereta, sebuah kenderaan pelbagai guna, (SUV) dan sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

Komander Operasi, Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Zahrul Azha Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.45 pagi sebelum 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bersama sebuah jentera tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah rumah teres dua tingkat terbakar sebanyak 30 peratus.

“Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic, sebuah kereta jenis BMW dan sebuah skuter jenis Yamaha telah terbakar 100 peratus,” katanya.

Menurut Zahrul Azha, dua lagi kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Myvi dan SUV jenis Honda CRV terbakar sebanyak 15 peratus dan rosak di bahagian cermin.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

Ujarnya, api dapat dikawal sepenuhnya daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 3 pagi.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan setelah memastikan tiada bahaya lain, pegawai dan anggota menamatkan operasi kira-kira dua jam kemudian,” katanya.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini