comscore
Tumpuan :
Tragedi

Peralatan pengajian 8 pelajar musnah dalam kebakaran

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Lapan pelajar Politeknik Merlimau Melaka (PPM) di sini terkejut apabila bilik bahagian belakang rumah sewa mereka di Taman Merlimau Utara musnah dalam kebakaran di sini, pagi tadi.

Kejadian jam 7.50 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa kerana kesemua penghuninya tiada di rumah.

Seorang penghuni rumah terbabit, Anis Shamini Jaafar, 22 yang juga pelajar pengajian Ijazah Sains Komputer berkata, ketika kejadian mereka baharu tiba di politeknik sebelum dikejutkan dengan panggilan dari pemilik rumah.

Katanya, kelapan-lapan mereka yang mendiami rumah itu sejak Oktober lalu bergegas pulang ke rumah sewa mereka dan melihat operasi pemadaman api sedang lakukan.

Dia dan rakannya bernasib baik kerana kejadian itu disedari jiran belakang rumah yang melihat kepulan asap dari bilik belakang sebelum menghubungi pihak bomba dan penyelamat.

“Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah komputer riba milik rakan kami hangus terbakar selain kelengkapan bilik seperti katil juga tidak dapat diselamatkan.

“Setakat ini kami belum dapat pastikan jumlah kerugian dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang prihatin melawat kami,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, pihak politeknik juga telah mengambil langkah segera untuk menyediakan penginapan sementara untuk mereka memandangkan bekalan elektrik rumah itu terputus.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Syukor Mat Ali berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Merlimau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.56 pagi.

“Setiba di lokasi benar berlaku kebakaran rumah melibatkan bahagian bilik tidur telah 10 peratus terbakar.

“Kebakaran dapat dikawal jam 8.20 pagi dan punca kejadian masih lagi disiasat,” katanya.

Tambahnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Loading...
Terkini