comscore
Tumpuan :
Nasional

Pandu kereta di lorong motosikal, perakam diminta tampil bantu siasatan 

Foto tular

PETALING JAYA: Individu yang merakam kejadian sebuah kereta yang dipandu di lorong motosikal di Kilometer (KM) 30.1 Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur, Isnin lalu diminta tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu video dimuat naik pemilik akaun @nanmanjoi871 di Twitter yang tular di media sosial pada 5.40 petang, semalam.

“Rakaman video itu memaparkan sebuah kereta dipandu di lorong motosikal di lokasi terbabit yang berlaku 1.50 petang pada Isnin lalu.

“Berdasarkan pemerhatian dilakukan, insiden itu tidak membabitkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memohon kepada individu yang merakam kejadian itu supaya tampil di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Petaling Jaya untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi arah papan tanda bagi mengelak sebarang kejadian termasuk kemalangan. Pihak polis tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 57 saat menunjukkan sebuah kereta Honda City memasuki laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan tular di media sosial sejak semalam.

Loading...
Terkini