comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Video ragut di kedai emas hanya lakonan 

KOTA KINABALU: Video mengenai kejadian ragut di sebuah kedai emas di Inanam yang tular di media sosial sejak semalam, didapati hanya lakonan semata-mata.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, video berdurasi tiga minit 32 saat itu menunjukkan seorang pelanggan wanita dalam kedai emas berkenaan sebelum didatangi seorang lelaki  yang tiba-tiba meragut  barang kemas dibeli mangsa sebelum melarikan diri.

“Berkaitan tersebarnya rakaman video itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah membuat risikan dengan menghubungi pengurus premis berkenaan bagi mendapatkan pengesahan berhubung insiden itu.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan premis telah mengesahkan bahawa kejadian itu hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak menjadi mangsa ragut,” katanya dalam kenyataan media.

Kalsom berkata,  pengurus premis terbabit diminta membuat laporan polis bagi mengesahkan insiden itu hanya lakonan semata-mata.

“Selain memberi penjelasan kepada netizen di media sosial bahawa tujuan video itu disebarkan bagi mengelak kegusaran dan ketakutan di kalangan orang ramai khususnya di daerah ini.

“Ini kerana polis IPD Kota Kinabalu sentiasa memastikan tahap keselamatan adalah terkawal dan di tahap yang terbaik,” katanya.

Kalsom turut  menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi berhubung rakaman video berkenaan.

Loading...
Terkini