comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah benar syarikat pengimport telur iklankan saman terhadap Azmin

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR :  Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd, yang mengemukakan saman fitnah terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengiklankannya dokumen writ saman itu dalam akhbar selepas ia gagal disampaikan secara peribadi kepada Mohamed Azmin.

Peguam Elyse Ng, yang mewakili syarikat berkenaan ketika dihubungi media memberitahu pihaknya tidak dapat menyerahkan dokumen writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Mohamed Azmin, walaupun membuat percubaan beberapa kali.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin katanya membenarkan permohonan anak guamnya untuk menyerahkan dokumen itu melalui penyampaian ganti dengan mengiklankan dalam akhbar pada Jumaat lalu ketika pengurusan kes saman berkenaan.

“Kami diarah oleh mahkamah untuk menyampaikan kertas kausa (kepada Mohamed Azmin) dengan menyiarkan notis di dalam akhbar tempatan. Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes lanjut pada 16 Mei ini,” katanya.

J&E memfailkan saman terhadap bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu, 12 April lalu berhubung ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India.

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Mohamed Azmin (defendan) membuat dan menerbitkan satu ucapan memfitnah syarikat berkenaan dalam “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman” di sebuah dewan di Taman Melewar di sini, 11 Mac lalu dan ucapan itu turut diterbitkan semula oleh media cetak dan elektronik di dalam dan luar negara termasuk YouTube.

Katanya, walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan berkenaan, tetapi jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen, 8 Mac lalu.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk membekal pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya ketika musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.

Justeru, ia memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan ucapan fitnah itu dan memohon ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk teruk, ganti rugi teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Loading...
Terkini