comscore
Tumpuan :
Nasional

Tanah runtuh di Wisma YPR: KKR tawar bantuan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia menawarkan bantuan berhubung kejadian runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Taman Seputeh, di sini sehingga mengorbankan seorang pengawal keselamatan, awal pagi tadi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi hantaran dalam Facebook beliau hari ini turut bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga pengawal keselamatan terbabit.

“Bagaimanapun, di pihak KKR, saya ingin memaklumkan kita bersedia untuk menawarkan bantuan dalam apa jua cara di bawah kapasiti KKR, sekiranya diminta oleh pihak-pihak yang terbabit,” katanya.

Nanta berkata berdasarkan laporan awal, kejadian itu berlaku di premis milik swasta di bawah penyelarasan pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antaranya berdasarkan peruntukan Akta 133 Jalan Parit dan Bangunan serta beberapa undang-undang kecil berkaitan.

Menurutnya, beliau difahamkan kejadian itu berlaku apabila tebing setinggi kira-kira enam meter menghempap pondok kawalan keselamatan menyebabkan mangsa yang bertugas ketika kejadian tertimbus.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menemukan mayat mangsa pada kedalaman tiga meter pada 6.23 pagi.

Terdahulu, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 73 tahun meninggal dunia selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing awal pagi tadi.

— BERNAMA

Loading...
Terkini