comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tuntutan palsu RM1.185 juta : Prosiding kes Azlan Man dipindah ke Mahkamah Sesyen KL

KANGAR: Prosiding lima kes tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta membabitkan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man di Mahkamah Sesyen di sini,   dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes berkenaan ditetapkan  9 Jun depan  di hadapan Hakim Azura Alwi bersama lima lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta.

Pemindahan kes berkenaan dimohon  Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Azlan, 64, yang diwakili Burhanudeen Abdul Wahid dan Ramli Shariff turut hadir  pada prosiding berkenaan.

Terdahulu, Azlan hadir ke mahkamah jam 9 pagi  sambil ditemani peguam dan beberapa penyokongnya.

Azlan dilihat sempat menunjukkan isyarat bagus sambil mengangkat tangan kepada pemberita dan jurugambar yang hadir.

Pada 10 April lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika pentadbirannya sebagai Menteri Besar.

Dua hari kemudian, bekas  ADUN Bintong itu sekali lagi mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.06 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Loading...
Terkini