comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Kerajaan tak halang MMC jual saham dalam MMC Ports

PTP adalah salah satu pelabuhan dikendalikan oleh MMC.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya MMC Corp Bhd merancang untuk menjual 49 peratus kepentingan dalam MMC Port Holdings Bhd (MMC Ports), namun perkara berkaitan konsesi dan status pemilikan aset utama negara perlu diteliti.

Menterinya, Anthony Loke, berkata keputusan pelupusan pegangan saham adalah usaha korporat dan terpulang kepada syarikat berkenaan untuk membuat keputusan.

“Pembabitan syarikat asing dalam sektor pelabuhan bukanlah sesuatu yang baru, sebagai contoh, 30 peratus kepentingan PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) dimiliki Maersk-Line,” katanya kepada media selepas pelancaran stesen pengecasan kenderaan elektrik Evlution di sini, hari ini.

Loke berkata, pelaksanaan inisiatif korporat terpulang kepada syarikat selagi ia mematuhi dasar kerajaan yang memerlukan 51 peratus aset utama negara dipegang oleh syarikat tempatan.

“Saya tidak dimaklumkan lagi berkenaan hal itu (rancangan MMC untuk menjual pegangan saham terbabit) tetapi sekiranya ia melibatkan konsesi, sebarang perubahan pemilikan perlu dimaklumkan kepada MOT,” katanya.

Terdahulu dilaporkan bahawa syarikat pelaburan Amerika Syarikat (AS) yang berpengkalan di New York, Global Infrastructure Partners (GIP) telah menangguhkan rancangan untuk membeli sehingga 49 peratus kepentingan dalam MMC Ports.

MMC Ports ialah unit perniagaan konglomerat pelabuhan MMC Corp Bhd, yang dikawal oleh tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Turut dilaporkan bahawa Tan Sri Syed Mokhtar memohon penilaian RM15 bilion (AS$3.2 bilion) hingga RM20 bilion (AS$4.27 bilion) untuk syarikat itu, yang akan menjadikannya perjanjian pelabuhan terbesar di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini