comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit ditutup rendah susulan indeks dolar AS kukuh

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah pada Rabu berikutan Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih kukuh walaupun data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan Amerika Syarikat (AS) yang dikeluarkan semalam adalah rendah.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7765/7780 berbanding dolar AS daripada 4.7785/7820 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran berhati-hati terhadap sebarang kenyataan Rizab Persekutuan AS (Fed) semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) pada 30 April hingga 1 Mei.

“Oleh itu, data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijadual dikeluarkan pada 26 April akan dipantau dengan teliti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata IPP pembuatan AS yang dikeluarkan semalam menunjukkan penurunan kepada di bawah 50 mata pada April selepas kekal melebihi 50 mata sejak tiga bulan lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata PCE dianggap perkara makro penting minggu ini bagi pelabur.

“Justeru, ini telah mengehadkan kenaikan ringgit apabila unit tempatan berubah daripada paras harian tertinggi kepada kekal tidak berubah sehingga penutupan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini