comscore
Tumpuan :
Dunia

12 tahun Gen-chan dianggap jantan

OSAKA: Zoo Tennoji di sini mengesahkan Gen-chan, badak air betina, selepas 12 tahun haiwan itu dianggap jantan oleh kakitangannya.

The Japan News dalam laporannya memaklumkan, pihak zoo mengumumkan berita itu di blog kakitangannya di laman web zoo berkenaan, baru-baru ini.

Gen-chan dilahirkan pada Mac 2012 dan tiba dari zoo di Mexico pada 2017, pada usia lima tahun.

Kakitangan zoo di Mexico berkata, Gen-chan adalah badak air jantan dan ia dinyatakan dalam dokumen untuk tujuan pengimportan haiwan berkenaan.

Pada Ogos 2017, zoo Osaka memutuskan untuk menamakan badak air itu sebagai Gen-chan kerana pergerakan haiwan itu yang bertenaga.

Badak air secara amnya mencapai kematangan seksual pada umur 10 tahun, tetapi penjaga zoo musykil apabila Gen-chan tidak cuba berhubungan dengan badak air betina.

Oleh kerana saiz Gen-chan yang besar, sukar untuk mengesahkan jantina haiwan itu secara visual melalui organ pembiakannya, jadi pihak zoo meminta analisis DNA dilakukan oleh organisasi penyelidikan luar.

Pada 16 April, laporan mengesahkan bahawa Gen-chan adalah betina.

“Kami tidak mempunyai keraguan sama sekali mengenai jantina Gen-chan sejak badak air itu dianggap sebagai jantan, apabila ia tiba dari Mexico.

“Berdasarkan keputusan, kami menyedari kepentingan mengesahkan semula jantina haiwan itu, dan kami bertekad untuk memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi,” menurut hantaran di blog itu.

Zoo itu bagaimanapun tidak akan menukar nama badak air berkenaan.–Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini