comscore
Tumpuan :
Dunia

Gaza Freedom Flotilla: Misi pelayaran ditangguhkan ke 26 April

Foto: MyCare/Facebook

ISTANBUL: Misi pelayaran “Break The Siege: Freedom Flotilla Mission To Gaza 2024” sekali lagi terpaksa ditunda ke tarikh baharu, 26 April (Jumaat).

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Ann Wright, ketika ini lokasi kapal memulakan pelayaran akan ditukarkan ke satu lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perkara itu diumumkan Wright menerusi taklimat harian kepada semua delegasi terlibat di Istanbul, Turkiye pada petang Selasa.

Terdahulu, Kerajaan Turkiye pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan dilaporkan terus dilobi beberapa negara kuasa besar bagi membatalkan misi Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024 yang dijadualkan berlepas pada 24 April (Rabu).

Lapan belas warga Malaysia ketika ini menyertai masyarakat awam antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan menaiki flotila berikutan situasi kemanusiaan yang teruk di rantau itu.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis yang juga wartawan penyiaran daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu kini berkumpul di Istanbul sejak 18 April untuk persiapan akhir sempena misi “Break the Siege: Freedom Flotilla Mission to Gaza 2024” itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini