comscore
Tumpuan :
Dunia

Jepun lancar Fasa 5 lepas air terawat dari Loji Nuklear Fukushima

Foto yang diambil pada 13 Februari 2021 menunjukkan pemandangan dari udara tangki simpanan air terawat di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi yang musnah akibat tsunami di bandar Okuma, wilayah Fukushima, Jepun. Foto fail Reuters.

MOSCOW: Pengendali loji janakuasa nuklear Fukushima (NPP), Tokyo Electric Power Company (TEPCO) telah melancarkan pusingan kelima pelepasan air terawat dari kemudahan itu yang dijadualkan berlangsung sehingga 7 Mei, Sputnik memetik laporan agensi berita Jepun Kyodo hari ini.

Sebagai sebahagian daripada pusingan kelima pelepasan air, TEPCO merancang untuk melepaskan 7,800 tan air terawat ke laut, manakala pada tahun fiskal baharu, sejumlah lebih 54,000 tan air akan dikeluarkan, kata laporan itu.

Tahap radioaktif air memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun dan organisasi antarabangsa, lapor Kyodo.

Pusingan keempat pelepasan air berakhir pada 16 Mac.

Jepun mula melepaskan sebahagian daripada kira-kira 1.34 juta tan air terawat NPP Fukushima ke laut pada Ogos 2023 walaupun bantahan dari negara jiran dan nelayan tempatan.

Secara keseluruhan, lebih daripada 31,000 tan air radioaktif ringan telah dikeluarkan pada tahun fiskal 2023, yang berakhir pada 31 Mac 2024.

Keseluruhan proses dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 30 tahun.

– BERNAMA-SPUTNIK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini