comscore
Tumpuan :
Nasional

300 sertai Berjalan Bersama Autisme

Sebahagian 300 peserta menyertai acara Berjalan Bersama Autisme sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia anjuran Pusat Jagaan Autisme Langkawi (LACC) di Taman Lagenda Langkawi.-Foto: NSTP

LANGKAWI: Seramai 300 peserta terdiri daripada kanak-kanak autisme dan waris menjayakan acara Berjalan Bersama Autisme sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD) di sini, hari ini.

Acara berjalan sejauh satu kilometer mulai jam 8 pagi itu dianjurkan Pusat Jagaan Autisme Langkawi (LACC) di Taman Lagenda Langkawi di sini.

Pengetua LACC, Mastura Mutalib berkata program itu julung kali dianjurkan bertujuan menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak autisme, selain merapatkan hubungan keluarga yang mempunyai anak autistik.

“WAAD disambut pada 2 April setiap tahun dan kebetulan tahun ini jatuh pada bulan Ramadan, jadi kami mengubah acara sambutan ke hari ini dan tidak sangka sambutan daripada penduduk setempat amat baik.”

“Justeru, kami merancang menjadikan program ini sebagai acara tahunan bagi memupuk kesedaran orang ramai untuk sama-sama menghargai dan memberi sokongan kepada kanak-kanak autisme,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas mengenai LACC, Mastura berkata pusat yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu adalah yang pertama di pulau ini dan sedang melatih kanak-kanak autisme berusia tiga hingga 15 tahun.

“Kanak-kanak autisme biasanya tidak mampu membentuk perhubungan dan berkomunikasi dengan baik, minat serta aktiviti yang terhad, jadi di LACC kami berusaha membantu mereka berdikari, khususnya untuk penjagaan diri.”

“Jika ibu bapa ada anak mempunyai ciri-ciri autisme, sebaiknya segeralah berjumpa kami di LACC atau mendapatkan rujukan daripada pihak profesional supaya mereka dirawat walaupun ia tidak boleh disembuhkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini