comscore
Tumpuan :
Dunia

Jerat percintaan ‘Elon Musk’, wanita kerugian RM332,000

SEOUL: Seorang wanita Korea Selatan kerugian AS$69,600 (kira-kira RM332,000) selepas dipujuk untuk melabur oleh seorang lelaki yang kelihatan seperti Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk.

Memetik laporan oleh The Korea Herald, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Jeong Ji-sun menceritakan bagaimana dia menjadi mangsa penipuan percintaan, dalam program ‘In-Depth 60 Minutes’ terbitan KBS.

Pada episod 19 April lalu, Jeong bercakap mengenai bagaimana dia mula bercakap dengan lelaki yang mengaku sebagai Musk.

“Saya mengalami sesuatu seperti mimpi tahun lepas. Pada 17 Julai tahun itu, ‘Musk’ menambah saya sebagai rakan di Instagram. Walaupun saya menjadi peminat setia Musk, selepas membaca autobiografinya, pada mulanya saya ragu-ragu.

“Musk menghantar saya kad pengenalannya dan gambarnya di tempat kerja. Di samping itu, ‘Musk’ bercakap mengenai anak-anaknya dan menaiki helikopter untuk bekerja di Tesla atau SpaceX. Dia juga menjelaskan bahawa dia menghubungi peminat secara rawak,” katanya.

Apabila Jeong bertanya kepada ‘Musk’ pengalaman bertemu dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol pada April 2023, beliau menjawab bahawa Yoon bercakap mengenai mewujudkan kilang di Seoul dan Jeju.

“’Musk’ pun berkata, ‘Saya sayang awak, awak tahu tak?’ apabila kami membuat panggilan video.

“Saya melihat video yang kelihatan seperti Musk, saya mula percaya bahawa itu adalah yang didakwanya,” katanya.

‘Musk’ kemudiannya memberikan nombor akaun bank Korea dan berkata, dia gembira apabila peminat menjadi kaya kerana dirinya.

Bagaimanapun, undang-undang Korea Selatan kekurangan peruntukan yang boleh membantu mencegah jenayah sedemikian, menurut rancangan itu.

Rancangan itu menunjukkan bahawa banyak penipuan percintaan memaparkan mangsa membuat pembayaran melalui laman web palsu yang dibuat oleh penjenayah. -Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini