comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dipenjara sehari, denda RM300 gara-gara curi tudung & kasut sekolah  

Foto hiasan

MELAKA: Gara-gara mencuri barangan pasar raya, dua bekas pekerja wanita premis berkenaan masing-masing dihukum penjara sehari dan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Majistret Khairunisak Hassni terhadap Siti Noor Affirah Musol dan Nur Aliffah Insyiraah Mohamad Zikri, selepas masing-masing berusia 23 tahun, mengaku bersalah

Kedua-duanya dituduh mencuri sarung kaki, tudung dan kasut sekolah, pemotong pita perekat, produk pelega kesakitan dan pewangi badan berjumlah RM128.99 di sebuah pasar raya di Ayer Keroh pada 6 Mac lalu, kira-kira jam 1.15 tengah hari.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, masing-masing berasal dari Tuaran, Sabah dan Kuching, Sarawak itu dipenjara tambahan tiga hari jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, mereka mengambil beberapa barang dan memasukkan ke dalam beg plastik sebelum pergi ke kaunter bayaran.

Bagaimanapun mereka ditahan oleh pengawal keselamatan selepas memeriksa resit pembelian dan mendapati terdapat barangan milik pasar raya yang tidak dibayar.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh yang ketika kejadian, bekerja dengan pasar raya berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini