comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 2 warga emas maut, seorang parah kemalangan dengan lori

YAN: Dua wanita warga emas maut, manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori di Jalan Sungai Limau Dalam, di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Naemah Mohamad, 70, dan Zabidah Bakar, 75, manakala Faridah Awang Dahaman, 66, parah.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada jam 11.10 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 25 tahun dari arah Sungai Yan ke Kuala Kedah, manakala kereta dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dinaiki mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan disebabkan jarak yang dekat, pemandu lori hanya sempat mengelak sedikit ke kiri.

“Bagaimanapun bahagian kanan kenderaan terkena kereta yang menyebabkan kemalangan itu berlaku.

“Penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta serta penumpang belakang dibawa ke Hospital Yan. Turut dihantar ke hospital sama, pemandu lori dan kelindan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Shahnaz berkata, pada jam 12.05 tengah hari, pemandu kereta disahkan meninggal dunia ketika sedang dirawat, manakala penumpang kereta yang parah masih dirawat di unit kecemasan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini