comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penunggang motosikal berkuasa besar maut


Oleh: Fazli Ahmad

TEMERLOH: Seorang penunggang motosikal berkuasa besar maut selepas merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang berhenti secara mengejut, setelah pemandunya cuba mengelak seorang wanita melintas lebuh raya.

Kemalangan berlaku di Kilometer 98.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, dekat susur keluar Lanchang, dekat sini, 4:18 petang semalam.

Video nahas berkenaan tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Termerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, nahas berlaku ketika motosikal berkuasa besar dan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Kuantan Ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 4:45 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia 35 tahun memberhentikan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya di bahu jalan dan bertindak melintas lebuh raya terbabit.

“Pemandu pacuan empat roda terbabit bertindak membrek secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh wanita itu,

“Pada masa sama datang sebuah motosikal berkuasa besar dari arah belakang, melanggar belakang pacuan empat roda terbabit,

“Akibat rempuhan itu, penunggang terbabit terjatuh di lorong kanan lebuh raya dan motosikal ditunggangi mangsa tercampak ke bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan.” katanya menerusi kenyataan media.

Mazlan berkata, akibat kemalangan itu penunggang terbabit yang dikenali sebagai Ahmad Haziq Ramli, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian wanita terbabit yang melintas jalan.

Katanya, susulan itu wanita berkenaan serta penumpang SUV iaitu seorang lelaki warga China berusia 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini