comscore
Tumpuan :
Nasional

Akaun Fleksibel satu pilihan, pengeluaran tahun pertama dianggarkan cecah RM25 bilion – KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KUALA LUMPUR: Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menjadi tumpuan ramai, dikenali sebagai Akaun Fleksibel dan merupakan pilihan bagi sejumlah 16.07 juta ahli, kata Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata Akaun Fleksibel itu menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek ahli dana persaraan itu dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, mulai 11 Mei, 2024, akaun ahli di bawah usia 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga kemudahan iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing kekal dalam Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan sewaktu persaraan; Akaun Sejahtera (bagi menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan) manakala Akaun Fleksibel bermula dengan baki sifar.

“Bagi tempoh 11 Mei-31 Ogos, 2024, ahli yang berusia di bawah 55 tahun akan diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera (sebelumnya Akaun 2) sebagai jumlah permulaan Akaun Fleksibel.

“Jika ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai jumlah permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera,” kata KWSP dalam kenyataan hari ini.

Bagi ahli yang membuat pilihan menyertai kemudahan Akaun Fleksibel, peruntukan ke dalam akaun baharu adalah berdasarkan kepada pecahan masing-masing 75 peratus untuk Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus bagi Akaun Fleksibel.Sebelum ini, caruman ahli KWSP dimasukkan ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 iaitu masing-masing 70 peratus ke Akaun 1 dan baki 30 peratus dalam Akaun 2.

“Kami menggalakkan ahli untuk tidak berbuat demikian (pilihan bagi Akaun Fleksibel) kerana adalah penting untuk menabung demi usia persaraan.

“Namun kami juga faham bahawa fleksibiliti itu adalah sesuatu yang diinginkan dan dari semasa ke semasa dan simpanan itu perlu diakses untuk menampung perbelanjaan yang tidak dijangka,” kata Ahmad Zulqarnain pada sesi taklimat bersama pengarang media, sebelum pengumuman hari ini.

Malah, beliau berkata inisiatif itu bukan setakat menjadi reaksi KWSP terhadap keperluan semasa, tetapi turut berperanan sebagai langkah proaktif bagi membantu ahli menangani perubahan landskap pekerjaan serta demografi penduduk.

Menurutya, sekiranya semua ahli KWSP memilih kemudahan Akaun Fleksibel, jumlah dana yang akan dipindahkan ke dalam Akaun Fleksibel mencecah RM57 bilion dengan jumlah pengeluaran tahun pertama dianggarkan RM25 bilion.

Selain itu, Ahmad Zulqarnain turut memberi jaminan bahawa kemudahan akaun baharu itu tidak akan memberi impak terhadap portfolio pelaburan dana persaraan berkenaan.

Bagi tujuan perbandingan, jumlah pengeluaran ketika pandemik sebelum ini yang mencecah RM145 bilion.

“Senario semasa (bagaimanapun) adalah berbeza dengan ketika pandemik dan portfolio kami juga kini jauh lebih besar,” katanya.

Melangkah ke hadapan, pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dianggarkan berjumlah RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun, kata Ahmad Zulqarnain.

Jelasnya, dividen kekal sama bagi ketiga-tiga akaun berkenaan, namun akan berubah di masa-masa akan datang sebagai aset cair yang tidak mengundang kadar faedah atau dividen lebih tinggi.

Pengeluaran Akaun Fleksibel Kalangan ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel juga boleh dibuat menerusi dalam talian melalui i-Akaun KWSP atau di mana-mana cawangan di seluruh negara, katanya.

Pendaftaran i-Akaun itu adalah digalakkan bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.Selain itu bagi Akaun 55 dan Akaun Emas yang menyamai amalan sedia ada, semua simpanan dalam Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan disatukan ke dalam Akaun 55.

“Caruman baharu ahli mulai usia 55 tahun akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini