comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Jatuhnya ‘Sang Penyelamat’

Foto: NSTP

FAIL MAHKAMAH: Imam Al-Mahdi adalah seorang insan yang akan dilahirkan di akhir zaman dan diutuskan bagi memberi petunjuk kepada manusia yang mula hilang arah dan tujuan sebenar beragama.

Namun muncul individu-individu yang mendakwa dirinya sebagai ‘Sang Penyelamat’ padahal sebenarnya terpesong dari ajaran agama Islam.

Fail Mahkamah kali ini memaparkan kes seorang pemimpin tarekat yang membawa hampir 300 pengikutnya ke Madinah demi menantikan kemunculan dan upacara bai’ah kononnya Imam Mahdi, sekitar dua tahun lalu.

Habib Shah Firdaus bin Habib Ahmad, 59 berasal dari Nibong Tebal Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang telah bermukim di Negeri Sembilan dan mula aktif dalam tarekat Al-Naqsyabandiyah Al-Khalidiyah yang dipimpinnya selepas mendapat perakuan dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Menurut Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan, Ahmad Zaki bin Hamzah, tiada sebarang kaitan dengan  tarekat Al-Naqsyabandiyah sebab pada asalnya tidak melanggar mana-mana hukum ataupun syarak bahkan tidak melanggar undang-undang. 

“Selang beberapa lama, berlaku satu insiden di mana tok guru iaitu Habib Shah sebagai Imam Mahdi. Maka di situlah sedikit permasalah,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan, Ahmad Zaki bin Hamzah.

Menerusi siri perjalanan Habib Shah bersama pengikutnya ke Madinah, pada mulanya mereka(pengikut) ditanggung segalanya namun semakin lama peruntukan dan wang yang digunakan untuk menampung kos mereka telah habis.

Setelah hampir 5 bulan di Madinah kononnya bagi menantikan masa yang sesuai untuk upacara bai’ah dijalankan, kewangan mereka semakin merosot, manakala visa pula telah tamat tempoh.

 

Sekelompok pengikut yang tidak mengetahui tujuan asal ke Madinah, merasa diri mereka ditipu dan diperdaya, akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

Aduan dan laporan telah dibuat oleh pengikutnya yang telah pulang kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan, berikutan perkara yang terpesong berlaku di Madinah.

Ahmad Zaki berkata keadaan menjadi semakin kecoh dan selepas itu kerajaan Arab Saudi sudah mula masuk campur.

“Pernah hotel tempat mereka menginap dikepung oleh imigresen Arab Saudi tak benarkan mereka keluar dari hotel itu. Dan Habib Shah ditangkap oleh imigresen Arab Saudi, dihantar pulang dan diusir ke Malaysia.” jelasnya.

 

Pada 21 Ogos 2022, Habib Shah Firdaus telah pulang berseorangan ke Malaysia selepas diusir kerajaan Arab Saudi dan meninggalkan pengikutnya di Madinah.

Walaubagaimanapun, pemimpin tarekat itu telah melarikan diri setelah sampai ke Malaysia.

Habib Shah akhirnya ditahan oleh pihak polis cawangan khas Bukit Aman, pada 15 Disember 2022 selepas seminggu menyembunyikan diri di rumah sewanya di Gombak.

Soal siasat dijalankan setelah pihak polis berjaya menahan Habib Shah Firdaus, dia walaubagaimanapun memberi kerjasama yang baik ketika disoal siasat.

Pemimpin berkenaan dihadapkan ke mahkamah dibawah enakmen Tarekat Tasawuf.

“Kita buat pertuduhan di bawah seksyen 50 atas perbuatan kesalahan itu di mahkamah, dan bila pertuduhan itu dibaca, dia mengaku bersalah dan dia dikenakan denda sebanyak RM4,500 dan dia membayar denda.” Tambah Ahmad Zaki.

Habib Shah Firdaus dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas selesai kes perbicaraannya.

Untuk paparan dan imbasan terperinci, tonton episod ‘Calon Imam Mahdi’ menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, Rabu 6 Disember 2023 di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini