comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Kerajaan negeri kaji bantuan kepada keluarga waris

Oleh: Hilmi Abdul Malik 

IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan meneliti dan mengkaji jenis bantuan yang akan diberikan kepada tiga keluarga mangsa yang berasal dari negeri berkenaan.

Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata, perkara itu akan dibincangkan menerusi mesyuarat Exco negeri minggu depan.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Perak terdiri daripada Sivasuttan Thanjappan, Mohd Shahrizan Mohd Termizi, dan Noorfarahimi Mohd Saedy.

“Selaku Exco, saya hadir ke Jabatan Forensik untuk dapatkan laporan sebelum kita kemukakan kepada Menteri Besar.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat Exco minggu depan dan akan ambil satu keputusan apakah jenis bantuan yang akan dihulurkan kepada keluarga waris.

“Bagi anak-anak Perak yang terkorban ini, kerajaan negeri akan sentiasa bersama keluarga mereka dan kita akan jaga seperti apa yang berlaku ketika Covid19 sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat kesemua keluarga waris yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari hari ini.

Ketiga-tiga mangsa berkenaan merupakan antara 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas dua buah helikopter yang terhempas di sekitar kem TLDM Lumut.

Ketika kejadian, kedua-dua aset TLDM itu sedang menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini