comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak lima tahun patah paha, jatuh dari tingkat tiga

Lokasi kejadian kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga rumahnya di Flat Taman Kolej Height.- Foto: Azrul Edham

SEREMBAN: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah paha kiri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga rumahnya di Flat Taman College Height, di sini, hari ini.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu berlaku ketika mangsa tinggal bersama dua lagi adik beradiknya dipercayai terjatuh ketika sedang menjenguk ke luar tingkap bilik belakang rumahnya.

Seorang penduduk Nur Syafiqah Zuriha, 22, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi bising di belakang rumahnya.

“Kami kemudian pergi melihat apa yang berlaku kerana pada awalnya menyangka ada berlaku pergaduhan antara kanak-kanak.

“Rupa-rupanya budak itu dipercayai jatuh dari tingkat tiga dan ketika sampai, saya tengok budak itu menangis kesakitan dan ada kesan darah di lantai, ” katanya ketika ditemui.

Katanya, dia tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku dan kes seumpama itu pertama kali berlaku sejak 10 tahun keluarganya menetap di situ.

Nur Syafiqah berkata, dia tidak mengenali ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka dipercayai baharu berpindah di situ tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Kami mendapat maklumat kira-kira jam 10.30 pagi dan terus ke lokasi. Ketika kejadian difahamkan ibu bapa mangsa tiada di rumah.

“Polis akan mengambil keterangan daripada ibu bapanya. Saya mahu nasihatkan ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak-anak yang masih kecil sendirian di rumah walaupun dalam tempoh sekejap.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini