comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kastam kesan penerima bungkusan dadah lebih 24 kilogram

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak sedang mengesan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah di bandar raya ini.

Wanita terbabit yang dinamakan sebagai penerima dua bungkusan yang dihantar dari Shah Alam, Selangor, dikatakan enggan mengambil barangan itu di lokasi alamat yang tertera pada nota penghantaran.

Dia sebaliknya memilih untuk menuntut sendiri bungkusan yang tiba di Lapangan Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 18 Mac lalu, di kaunter syarikat kurier berkenaan.

Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya, berkata pihaknya yang curiga dengan bungkusan itu, membuat intipan selama empat hari di kaunter syarikat kurier, namun tiada individu yang tampil untuk menuntut bungkusan itu.

Beliau berkata, berikutan tidak dituntut, pada 22 Mac lalu JKDM menyita dua bungkusan terbabit yang dialamatkan atas nama seorang wanita di Taman Stapok, di sini.

“JKDM kini menggerakkan usaha untuk mengesan individu yang berkaitan dengan rampasan itu dengan berpandukan kepada maklumat yang diperoleh daripada pengendali perkhidmatan kurier, penyedia perkhidmatan atas talian, rekod telekomunikasi dan rekod perbankan individu berkaitan.

“Bungkusan itu dihantar ke Kuching menggunakan akaun perniagaan atas talian terkemuka melalui Shah Alam – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)–LTAK dan sepasukan pegawai dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak melakukan pemantauan dan pemerhatian ke atas penghantaran dua bungkusan itu tetapi penerima enggan menerima bungkusan di lokasi alamat yang tertera pada ‘shipment note’,” katanya.

Norizan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua bungkusan itu mengandungi 24.4 kilogram (kg) ketulan kristal yang disyaki dadah merbahaya jenis Methamphetamine atau syabu.

“Nilai pasaran dadah yang dibungkus dengan plastik lutsinar dan dimasukkan ke dalam bungkusan makanan haiwan itu dianggarkan kira-kira RM872,000.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dikenakan hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam tempoh Januari 22 Mac 2024, JKDM Sarawak merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak 138.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM4.4 juta.

“JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan identiti setiap pemberi maklumat adalah dijamin dirahsiakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini