comscore
Tumpuan :
Nasional

Keluarga 248 pelajar Sabah di Asia Barat diminta bertenang

Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila Iran dan Israel saling bertindak balas terhadap serangan yang dilancarkan. – FOTO: Reuters

KOTA KINABALU: Ibu bapa dan keluarga kepada pelajar Sabah yang sedang menuntut di Asia Barat digesa agar bertenang susulan konflik yang semakin memuncak di rantau itu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerajaan Sabah dari semasa ke semasa berhubung dengan Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang sedang memantau keadaan itu, terutamanya di Mesir dan Jordan untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan keadaan itu.

Mohd Arifin berkata, beliau sendiri telah berhubung dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkenaan perkara itu dan diberitahu Wisma Putra serta Kementerian Pendidikan Tinggi sudah bersedia untuk sebarang keperluan, termasuk membawa pulang pelajar.

“Setakat ini terdapat 248 anak Sabah yang sedang menuntut di Mesir, 79 orang di Jordan dan sembilan orang di Arab Saudi. Mereka ini belajar di beberapa universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.

“Antara penaja mereka Biasiswa Kerajaan Sabah, Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah, dan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya menerusi kenyataan di sini semalam.

Mohd Ariffin berkata, beliau dan pihak Yayasan Sabah juga sentiasa berhubungan dengan wakil yang menjaga anak-anak Sabah di Mesir, Jordan dan Arab Saudi mengenai situasi semasa anak-anak itu di tiga negara berkenaan.

“Kita juga ada pengalaman menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir sebelum ini,” katanya sambil memohon supaya semua pihak berdoa agar anak Sabah yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini