comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan ambil alih projek LRT Pulau Pinang

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan secara rasmi mengambil alih pembangunan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara daripada kerajaan Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan itu susulan kelulusan diberikan Jemaah Menteri pada 22 Mac lalu untuk kerajaan Persekutuan mengambil alih projek berkenaan.

Katanya, kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara itu disasarkan bermula tahun ini dan dijangka memerlukan tempoh masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan serta beroperasi pada tahun 2030.

“Secara rasminya, kerajaan memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek terbabit.

“Pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka manakala perolehannya akan terbahagi kepada tiga komponen utama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata, komponen pertama membabitkan kontrak untuk kerja pembinaan sivil Segmen 1 iaitu Jajaran Pulau Silikon ke KOMTAR.

Beliau berkata, SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) akan ditawarkan kontrak berkenaan melalui mekanisme ‘Singel Sourcing Request for Proposal’.

“Tawaran ini adalah berdasarkan permintaan kerajaan Pulau Pinang yang melantik SRS sebagai rakan pelaksana projek kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang merangkumi LRT Laluan Mutiara melalui tender terbuka pada Ogos 2015.

“SRS juga sudah melaksanakan kajian teknikal dan reka bentuk awalan di samping memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Awal Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) dan Skim Kereta Api bersyarat dengan semua usaha itu dibiayai oleh SRS,” katanya.

Loke menegaskan, nilai kontrak dan butiran terperinci berkaitan projek itu tertakluk kepada proses rundingan antara MRT Corp dan SRS yang perlu dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

“Kontrak pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari KOMTAR ke Penang Sentral dibuat melalui tender terbuka manakala kontrak ‘turnkey’ kerja sistem dan stokereta (systems and rolling stocks) secara ‘Build Maintain Transfer’ (BMT), turut membabitkan tender terbuka,” katanya.

“Antara syarat kerajaan Persekutuan mengambil alih projek ini ialah kerja penambakan (laut) perlu dikurangkan sebab sebelum ini ada tiga pulau yang perlu ditambak.

“Jadi daripada tiga pulau, kerajaan minta supaya mereka hanya hadkan kepada penambakan satu pulau sahaja,” katanya.

“Anggaran kos memang ada tetapi kita nak berunding dahulu dengan pihak berkenaan. Jadi kita tak mahu meletakkan satu kos yang kita putuskan tetapi itu tertakluk kepada rundingan bersama dengan syarikat terbabit,” katanya.

Jajaran LRT Laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian kereta api KTM Komuter dan ETS sedia ada.

Jarak jajaran dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini