comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sentiasa pastikan penyebaran ajaran sesat, pesong akidah disekat

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena, Alor Setar. – Foto: NSTP

ALOR SETAR: Kerajaan sentiasa memastikan penyebaran ajaran sesat dan fahaman menyeleweng akidah umat Islam di negara ini disekat daripada menular.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi penguatkuasaan lain dalam menangani isu berkaitan.

“Pendekatan memberi pencerahan dan kefahaman kepada masyarakat digerakkan oleh pelbagai agensi termasuk agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita perlu saling melengkapi dalam menjalankan penguatkuasaan undang undang dan memberi kefahaman kepada masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena, hari ini.

Beliau diminta mengulas isu agensi mubaligh tertentu yang dikatakan menyebarkan fahaman di media sosial terutama TikTok sehingga ada imam di luar negara didakwa mengisytihar diri mereka murtad.

Zulkifli berkata, pihaknya tiada menerima aduan kejadian sedemikian di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting bagi program dakwah Islam terus diperkasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini