comscore
Tumpuan :
Nasional

Kos pendidikan dua anak mendiang Joanna Felicia ditanggung Kerajaan Sarawak

Tan Sri Abang Johari Abang Openg bersama suami mendiang Joanna, Haslie Ali (kanan) di Kampung Engkaroh, Tebakang, hari ini. Ihsan UKAS

SERIAN: Kerajaan Sarawak menanggung kos pendidikan dua anak mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, bermula sekolah rendah sehingga mereka melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata bantuan itu akan disalurkan menerusi Yayasan Sarawak apabila nama dua beradik itu didaftarkan dalam senarai badan berkanun itu yang bertanggungjawab membantu meningkatkan kualiti pendidikan anak Sarawak.

Katanya, Yayasan Sarawak juga akan memantau secara berterusan perkembangan pendidikan dua beradik itu menerusi bapa mereka bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya.

“Anak sulung mendiang ketika ini masih lagi di peringkat Taska manakala yang kedua baru berusia setahun, tetapi nama mereka akan didaftarkan di Yayasan Sarawak.

“Apabila nama sudah didaftarkan, kita akan terus membantu pendidikan mereka sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika mengunjungi waris mendiang Joanna di Kampung Engkaroh, Tebakang, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, beliau turut menghulurkan sumbangan kerajaan Sarawak sebanyak RM10,000 kepada keluarga mendiang.

Beliau turut mengharapkan kedua-dua anak mendiang Joanna iaitu yang perempuan Allesia Felice Haslie, 4 dan anak lelaki, Hovannes Haslie, berusia setahun berjaya melanjutkan pelajaran hingga peringkat universiti dan mendoakan mereka turut menjadi pegawai tentera satu hari nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini