comscore
Tumpuan :
Nasional

KPM pastikan pendidikan, kebajikan anak wira nahas helikopter TLDM dibela – Fadhlina

NIBONG TEBAL: Semua anak kepada wira negara yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak pada Selasa lalu, mendapat pembelaan dari sudut kebajikan dan pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya mengenal pasti 10 anak tentera berkenaan yang bersekolah di bawah kendalian kementeriannya.

Sehubungan itu, beliau mahu kebajikan anak semua mangsa berkenaan terus dijaga sehingga mereka menamatkan persekolahan.

“Kementerian Pendidkan (KPM) akan teruskan dari segi pembelaan mereka dalam sudut pendidikan, begitu juga bantuan khususnya mengenai pendidikan mereka.

“Kita akan buat susur tindak bagi memastikan kebajikan dijaga sehingga mereka tamat persekolahan.

“Di bawah jagaan KPM ada 10 orang yang masih bersekolah. Kita beri tumpuan penuh pendidikan mereka secara keseluruhannya dan kita tahu mana mereka bersekolah, kebajikan mereka akan dijaga,” katanya.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka anjuran pusat khidmatnya di sini, malam ini.

Susulan tragedi itu, katanya, bantuan terus disalur menerusi Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dan Yayasan Didik Negara (YDN).

“Bantuan disampaikan kepada keluarga dan anak-anak mangsa terbabit,” katanya.

Selasa lalu, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter milik TLDM terhempas ketika menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Insiden di Pangkalan TLDM Lumut itu mengorbankan semua 10 anggota dalam dua pesawat terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini