comscore
Tumpuan :
Nasional

MCA kekal parti komponen Kerajaan Perpaduan – Saifuddin

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR: Di sebalik beberapa isu disuarakan MCA, Pakatan Harapan (PH) yakin parti itu kekal sebagai komponen Kerajaan Perpaduan.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tidak timbul isu ketiadaan sokongan daripada parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata penyertaan MCA dalam mesyuarat pilihan raya baru-baru ini menunjukkan kesediaan parti itu bekerjasama dengan kerajaan.

“Baru saja beberapa hari lepas dalam pertemuan pemimpin Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Presiden MCA) ada duduk sebelah saya.

“Ketika saya hadir mempengerusikan Mesyuarat PH dan BN (Barisan Nasional) minggu lalu di WTC, Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low juga hadir.

“Saya anggap kehadiran mereka itu sebagai simbol kerjasama. Saya melihat dari sudut positif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah Kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Bersama Rakan Strategik Dengan Komuniti Setempat di Perumahan Awam Sri Sabah di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong memaklumkan MCA masih kekal dengan pendirian tegas untuk tidak turun berkempen pada PRK KKB dan hanya akan turun jika calon BN bertanding dalam pilihan raya terbabit.

Bagaimanapun, pihaknya tidak akan menghalang mana-mana parti yang mahu membantu DAP untuk berkempen dalam PRK berkenaan.

Mengenai kritikan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan MCA berhubung pengumuman penyaluran RM5.21 juta kepada penduduk di daerah Hulu Selangor menjelang kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu yang disifatkan melanggar garis panduan pilihan raya bersih dan ‘gula-gula PRK’, Saifuddin berkata, pihaknya menghormati teguran itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui negara mempunyai undang-undang jelas berhubung pilihan raya sama ada mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya atau undang-undang lain.

Namun, katanya, semua pihak boleh membuat pertimbangan sewajarnya mengenai perkara itu.

“BERSIH sebagai satu entiti telah menyampaikan pandangan mereka dan semua pihak, saya percaya boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya sesuai dengan nasihat disampaikan,” katanya.

Loading...
Terkini