comscore
Tumpuan :
Nasional

Pulau Pinang belum boleh muktamad pelaksanaan cadangan terowong dasar laut – Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang belum boleh memuktamadkan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut kerana masih menunggu pelan induk daripada Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) membabitkan pembesaran kemudahan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata exco kerajaan negeri baharu sahaja diberi taklimat oleh SPPP mengenai Pelan Induk Pembangunan SPPP dalam tempoh 30 tahun (2023-2053).

“Sama ada projek terowong ini akan diteruskan atau meminda jajaran atau reka bentuk saya percaya Jawatankuasa Pemandu akan membuat syor untuk pertimbangan kerajaan negeri kelak,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Tambah Kon Yeow, Jawatankuasa Pemandu itu juga akan mengadakan perbincangan lanjut sebelum mengemukakan sebarang syor berkaitan untuk pertimbangan kerajaan negeri dan seterusnya mencapai keputusan akhir.

Difahamkan, berdasarkan pembentangan yang dijalankan sebelum ini, sebahagian rancangan pembesaran NBCT dijangka akan terjejas sekiranya cadangan projek terowong dasar laut diteruskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd (PPSB), Datuk Sasedharan Vasudevan dilaporkan berkata projek itu membabitkan dana sebanyak RM250 juta dan akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau juga dilaporkan berkata PPSB mampu meningkatkan jumlah TEU kepada 7 juta setahun jika projek terowong dasar laut dan jambatan ketiga itu tidak dilaksanakan.

Projek cadangan terowong sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam di tanah besar itu, sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri itu.

Pada November 2023, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari memaklumkan bahawa antara pertimbangan untuk pelaksanaan projek terowong dasar laut itu adalah kedudukan jajaran terowong yang tidak akan menjadi gangguan atau halangan terhadap pembesaran kemudahan dermaga.

Projek terowong dasar laut menghubungkan kawasan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di Seberang Perai, merupakan Pakej 4 di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini