comscore
Tumpuan :
Nasional

Rakam wanita dalam tandas, lelaki dicari polis

Lelaki dicari polis bagi membantu siasatan berikutan aduan seorang wanita yang ada individu merakam gambarnya di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah bebas cukai di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu, 6 April lalu. – FOTO: NSTP/Ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki sedang dicari polis selepas disyaki merakam seorang wanita di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah bebas cukai di Jalan Haji Saman, di sini, 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, wanita yang berusia dalam lingkungan 20 tahun, jam 3.34 petang, pada 7 April lalu.

Katanya, mangsa menyedari ada individu tidak dikenali sedang memegang telefon bimbit di bawah pintu tandas kira-kira jam 8.40 malam.

“Tindakan suspek dipercayai untuk merakam gambar atau video mangsa di dalam bilik tandas berkenaan.

“Hasil semakan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah berkenaan mendapati suspek seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan memakai baju berwarna hitam serta seluar coklat ketika kejadian.

“Suspek juga mempunyai misai, berjanggut nipis dan berselipar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Zaidi meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai individu dalam rakaman CCTV itu menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Wan Azman Mat Salleh di talian 012-8260050 bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini