comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM pantau penguat kuasa korup

Azam pada sidang media Ops Samba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.-Foto Aswadi Alias

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak terbabit rasuah tidak akan terlepas daripada disiasat.

Azam berkata, SPRM sudah merangka tiga strategi utama di bawah Sektor Operasi dan Pencegahan dalam usaha memerangi rasuah membabitkan perolehan awam, penguat kuasa undang-undang dan grand corruption.

Menurutnya, setiap siasatan SPRM di bawah sektor itu perlu memberi kesan dan impak kepada negara kerana rakyat melihat perkara ini.

“Sebab itu, setiap kali operasi yang kita jalankan, kita bukan saja tahan mereka tetapi kesan juga jumlah wang yang boleh kita bawa balik dan heret mereka yang bersekongkol dengan pihak berkuasa supaya wang ini dapat dikembalikan kepada negara,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya di sini, hari ini.

Beliau berkata, SPRM akan menggunakan segala cara di bawah undang-undang untuk membendung penyeludupan dan rasuah.

“Jangan fikir kerana rasuah kamu lakukan beberapa tahun lalu yang kami (SPRM) tidak dapat kesan kamu. Semua wang boleh dikesan, terutamanya dalam era teknologi.

“Saya percaya dengan teknologi yang kita ada sekarang, kita boleh mengesan semua wang yang anda perolehi secara haram,” katanya.

Azam berkata, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, siasatan SPRM akan memberi fokus kepada siasatan pegawai penguat kuasa yang menerima rasuah.

“Lima tahun lalu, orang ramai mendengar kes rasuah kecil-kecilan dan saya memberi arahan untuk menyiasat rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan, terutamanya pegawai penguat kuasa, sama ada mereka terbabit dengan kumpulan atau sindiket.

“Kita akan fokus kepada kes yang membabitkan kerugian besar negara, tanpa mengira pangkat pegawai berkenaan,” katanya

.Sejak kebelakangan ini SPRM sedang menyiasat beberapa kes berprofil tinggi membabitkan penguat kuasa sehingga berlaku ketirisan bernilai jutaan ringgit.

Ini termasuk penahanan terhadap 34 pegawai dan anggota jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan mengakibatkan kerugian negara sehingga RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini