comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga pemandu bas ekspres disaman buat TikTok dan panggilan video ketika memandu

ALOR SETAR: Masih ada lagi pemandu bas ekspres yang dikesan menggunakan telefon bimbit ketika memandu termasuk membuat siaran langsung di aplikasi TikTok.

Tindakan itu dikesan oleh anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah yang melakukan penyamaran ketika berada dalam tiga bas ekspres yang bergerak dari negeri ini ke Kuala Lumpur dan Ipoh, Perak sepanjang Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 yang lalu.

Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, tindakan itu boleh mengundang bahaya sekiranya berlaku kemalangan kerana setiap bas terbabit membawa jumlah penumpang yang ramai.

Beliau berkata, ketiga-tiga pemandu terbabit berusia antara 52 hingga 54 tahun dan dua daripadanya didapati melakukan kesalahan mengguna alat komunikasi (siaran langsung TikTok ) ketika memandu di bawah Seksyen 17A(1) Peraturan Lalu Lintas 1959.

Timbalan Pengarah JPJ Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali (kanan) melakukan pemeriksaan terhadap warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki lesen. FOTO: NSTP

Katanya, kedua-dua kes ini dikesan pada 18 April lalu ketika bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur.

“Seorang lagi pemandu bas ekspres dikesan berbual-bual menggunakan telefon bimbit tanpa sebab munasabah iaitu membuat panggilan video sepanjang memandu dari negeri ini ke Ipoh, Perak pada 1 April lalu dan disiasat mengikut Kaedah 17(a) PSV License Competent Driving Conductor and Passenger (LCDCP) 1959.

“Walaupun sebelum hari raya, kita sudah memanggil operator bas untuk taklimat namun masih ada lagi yang masih melakukan perkara itu (live di TikTok).

“Ketiga-tiga pemandu terbabit dikenakan saman RM150,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.

Shahrul Azhar berkata, tanggungjawab pemandu bas sangat besar kerana dia membawa banyak nyawa dan jika dia hilang tumpuan dua atau tiga saat sahaja boleh mengakibatkan kemalangan dan kematian yang tinggi.

Bagaimanapun katanya, sepanjang Ops Khas HRA 2024 ini tiada kenderaan awam dilaporkan terbabit dalam kemalangan berikutan usaha pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan.

Beliau berkata, selain kesalahan itu, ada kesalahan lain yang dikesan seperti tidak memakai kasut ketika memandu serta menukar lorong tanpa isyarat dan lain-lain lagi.

“Berdasarkan statistik sepanjang HRA 2024 yang bermula 1 April hingga 20 April lalu, JPJ Kedah melakukan pemeriksaan sebanyak 54,821 kenderaan di seluruh negeri ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 432 kenderaan disita dan 10,149 notis dikeluarkan termasuk tindakan terhadap 223 pemandu warga asing,” katanya.

Shahrul Azhar berkata, kadar kemalangan yang dilaporkan sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 651 kes berbanding 609 kes pada tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun ada peningkatan kemalangan namun Kadar kematian yang dilaporkan tahun lalu adalah 14 kes berbanding tahun ini hanya sembilan kes.

“Ini menunjukkan jumlah kematian akibat kemalangan menurun pada tahun ini hasil tanggungjawab pelbagai agensi penguat kuasa serta pemandu kenderaan dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kematian,” katanya.

Katanya, Operasi HRA 2024 ini turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini